07 January 2012

Kalau takut tua jangan sertai Ham Radio

Dalam Ham Radio panggilan Pak dan Kak masing-masing untuk kaum lelaki dan perempuan bukanlan menggambarkan usia sesaorang. Ianya tak lebih sebagai nama hadapan kepada sesaorang seperti Encik bagi lelaki dan Cik bagi perempuan.

Panggilan ini adalah satu amalan di dalam Ham Radio atau Radio Amateur  dan menampakkan satu keseragaman di dalam satu kelompok pengamal Radio Amateur. Akhir-akhir ini perspektif ini telah disalah tafsir oleh segelintir rakan ham di Kelantan khususnya dan Malaysia am nya.

Berbagai pendapat kedengaran, ada yang mengatakan Pak itu tua lah, saya masih remajalah dan lain-lain alasan yang remeh temah. Maka dijenamakan sendiri oleh insan yang kreatif dengan berbagai panggilan yang menimbulkan satu kecelaruan pada rakan-rakan yang ingin menceburi dalam Ham Radio (rakan baru).

Sebenarnya saya mempunyai dua orang harmonik yang mempunyai AA. Saya berpesan kepadanya supaya menggunakan bahasa Pak atau Kak semasa QSO walau pun usianya masih muda remaja. Terimalah hakikat panggilan pak kepada kita itu bukanlah ejekan kepada usia kita yang tua atau pun muda, ianya sebenarnya suatu penghargaan atau pun pengiktirafan kepada kita sebagai pengamal Radio Amateur di Malaysia mahu pun di Nusantara.

Pandangan saya secara peribadi seandainya anda takutkan kepada tua dengan pangilan Pak di dalam QSO di Radio Amateur. Bagi yang ingin menceburunya lebih baik batalkan hasrat anda dan bagi yang mengamalkannya seeloknya disimpan atau dijualkan sahaja radio anda. Maaf rasanya mungkin ada yang bercaggah pendapat dengan saya. Demi untuk keseragaman di dalam QSO terpaksa saya coretkan juga di dalam blog ini walau pun telah beberapa kali  ditangguhkan hasrat saya ini sebelum membuat tindakan yang agak drastik ini.

Jadi sebagai satu rumusan silalah kekalkan pangillan asal yang telah diamalkan oleh datuk nenek kita sebelum ini dengan satu panggilan sahaja iaitu PAK dan KAK masing-masing untuk lelaki dan perempuan tak kiralah sama ada usia anda empat belas tahun atau lapan puluh tahun. Dengan ini nampaklah pengamal Radio Amateur di negara kita ini mempunyai keseragaman dan bersatu hati di dalam segala hal untuk melayari kehidupan ini.