07 January 2010

MAKAM SULTAN ABDULLAH (RAJA ABDULLAH)





Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, waktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dengan ini Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja yang memerintah Kelantan. Apabila Raja Hussein mangkat pada tahun 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, dan sekarang didalam Jajahan Kuala Krai kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.

Semasa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa telah menjadi terkenal menyebabkan ianya dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang dan sekarang telah menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.

Semasa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah wujudl sebuah lagi kerajaan yang berpusat di Jembal (Kota Jembal), di bawah pemerintahan Raja Sakti pada tahun 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada tahun 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Hubungan telah terjalin dengan baiknya di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.

Raja Sakti (atau dikenali juga sebagai Raja Sakti I) adalah pengasas pemerintahan raja Jembal, salah sebuah kerajaan yang memerintah Kelantan pada abad ke-17 dan ke-18. Pusat pemerintahan baginda adalah di Jembal (Kedai Lalat sekarang). Baginda adalah seorang daripada dua orang anak angkat Raja Bersiung dari negeri Kedah yang berkampung di Jembal. Seorang lagi ialah Puteri Mani Kemenyan, yang talah dikahwinkan oleh Raja Bersiung dengan baginda Raja Sakti.

Raja Bahar bin Raja Sakti atau juga dikenali sebagai Long Bahar Bendahara juga Raja Ekor merupakan putera sulung Raja Sakti, pemerintah Jembal.Beliau mempunyai dua orang putera iaitu Raja Abdullah dan Raja Abdul Rahim. Selepas kemangkatan kekandanya Raja Loyor, baginda dilantik sebagai raja Jembal.Baginda mangkat sekitar tahun 1675 dan dimakamkan di Kampung Tok Kambing, Sering, Kota Bharu, Kelantan. Beliau digantikan oleh Raja Udang (Sultan Umar).

Raja Abdullah bin Raja Bahar merupakan putera kepada Raja Bahar pemerintah Jembal. Baginda berkahwin dengan Puteri Saadong, iaitu puteri Raja Loyor yang dipelihara oleh Cik Siti Wan Kembang.Selepas berkahwin dengan Puteri Saadong, baginda dilantik sebagai raja Kota Mahligai dengan gelaran Sultan Abdullah.

Puteri Saadong adalah seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, ia digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepengtahuan Maharaja Siam, dan telah menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi lamarannya ditolak oleh Puteri Saadong kamudian telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dilarikan ke Siam dan di persembahkan kepada Narai Maharaja Siam pada tahun (1656-1688). Kerana kesetiaannya kepada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan berlakulah satu pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibatnya Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong. Kerana marahkan Sultan Abdullah yang telah berkahwin lain sepeninggalan Puteri Saadong ke negeri Siam. Baginda dipercayai mangkat pada tahun 1671 dan dimakamkan di kampung Padang Halban, Melor, kira-kira 21 km ke selatan Kota Bharu.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada tahun 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.

Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat kerana telah ditikam oleh rakyatnya sendiri di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada tahun 1675M (1086H).

3 comments:

sam0816.umk said...

dari manakah tempat ini?? bolehkah saya dapatkah alamat supaya saya boleh melawat tempat ini?? thanks ^^

PakNik said...

Alamatnya adalah Kampung Padang Halban, Kadok, Kota Bharu, Kelantan

Rina said...

Terimaksih diatas coretan sejarah raja kelantan ini